Halangan dan Cabaran Dalam Membina Ketamadunan Islam

1. Pendahuluan


Tamadun Islam yang pernah terbina adalah atas dasar aqidah, syariah, ilmu dan akhlak. Dasar- dasar ini bertitik tolak dari faktor keagamaan yang menjadi unsur utama pembangunan tamadun islam, yakni seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Penekanan diberi kepada aspek-aspek iman, islam dan ihsan. Malangnya umat islam hari ini begitu tercabar dengan isu-isu seperti konflik politik, krisis ekonomi, kebekuan idea dan penyelewangan agama. Apabila diungkapkan bolehlah dikatakan cabaran-cabaran utama yang melanda adalah kerana kepincangan nilai-nilai akhlak, kurangnya kepimpinan yang berwibawa yang membawa kepada perpecahan, masyarakat yang goncang kestabilan sosialnya akibat pengaruh budaya asing, ideologi barat, kelemahan ekonomi dan kemerosotan ilmu dikalangan umat muslimin itu sendiri yang menyaksikan barat menguasai ekonomi sains dan teknologi dan seterusnya dominan dalam kuasa politik dan ketenteraan.


2. Latarbelakang

Dalam abad yang ditunjangi oleh tamadun barat kini, sinar cahaya tamadun islam itu kian malap, malah seperti tidak relevan dalam mengatasi arus gelombang kemodenan yang nyata begitu lari daripada landasan sebelumnya, walaupun sebenarnya tidak begitu hakikatnya. Dunia kini lebih dicorak oleh ketaksuban kepada humanisme gagasan minda ciptaan barat yang didorong oleh nafsu duniawi.

Dunia islam kelihatan lesu dan tidak bermaya, mudah diadu domba. Mereka sesama sendiri bercakaran, bertindak seperti pengganas, emosinal, sentimental, dan kurang daya saing. Justeru kurang menyumbang kepada ketamadunan manusia masa kini. Bagai menongkah arus, tamadun islam berbekalkan sejarah dan cahaya islam harus terus kuat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.


3. Perpecahan politik islam

Persaudaraan dikalangan negara islam mudah goyah. Ini dapat dilihat dikalangan negara arab yang memilih untuk mengakui kewujudan Israel, walhal Israel telah merampasnya dari tanah Palestin pada tahun 1967. Kemudian bermulalah usaha kearah apa yang dinamakan pemecahan serta perjanjan damai yang memutuskan segala harapan dan memadamkan semangat yang dimiliki oleh para pemuda islam 1.

Sejarah perpecahan Islam telah bermula lebih awal dari itu, dalam ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia pada forum Islam Oxford (1997) beliau menerangkan “…sehingga zaman Khalifah ke-4, iaitu Saidina Ali –persengketaan telah menjadi serius seperti persengketaan kaum masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Umat Islam terbahagi 2 secara tetap. Penentang Ali mengikut Muawiyah dan dikenali sebagai pendukung sunah-sunah Rasulullah – Ahlul Sunah Waljamaah dan pengikut Ali yang mungkin bertentangan dengan Ali sendiri, berpecah untuk memebentuk orang-orang Islam Shiah dengan mengaggap Ali sebagai pewaris sebenar Rasulullah” 2. Ini berlanjutan seterusnya di antara negara islam Iran dan Iraq dengan disokong oleh perang dingin diantara barat dan blok komunis. Dengan itu negara-negara islam ini diadu-domba, manakala rakyat menjadi mangsanya. Sebenarnya kesatuan persaudaraan islam nyata retak awal sebelum itu tatkala orang arab diperdaya oleh pihak Eropah untuk memerangi orang Turki yang menyaksikan berakhirnya empayar Islam Turki.

Imam Hasan Al Banna pernah menegaskan bahawa manusia berdepan dengan dua seruan utama iaitu nasionalisme dan perkauman. Salah satu jenis nasionalisme itu ialah dalam bentuk “kepartian” 3. Kefahaman inilah yang memecah belahkan umat islam kerana ianya adalah ciptaan manusia sendiri. Ini dapat dilihat pada konteks terkini politik kepartian di negara Malaysia. Ianya penuh dengan amalan fitnah, pembohongan, hasad dengki dan rasuah. Dalam waktu begini, musuh akan mengambil peluang serta memisahkan mereka dari kebenaran, lalu campurtangan asing mungkin boleh berlaku.
Sehubungan dengan itu perbalahan politik yang tidak sealiran kerap menjadi penyebab kepada kegagalan tertubuhnya negara islam seperti yang berlaku di Palestin dan Indonesia. Krisis antara golongan elit moden dan ulama di Pakistan terus berpanjangan didalam menentukan soal samada Pakistan harus jadi sebuah negara islam atau sekular. Harapan untuk kestabilan politik sentiasa ranap. Begitu juga di Indonesia, penentangan pemberontak islam di sulawesi dan sumatera berterusan akibat dasar authotarian oleh Soekarno menerusi dasar sekularnya di tahun 1960an.



4. Ideologi Barat
Negara-negara barat khususnya Eropah telah bangun daripada kegelapan atau lebih dikenali sebagai fasa ‘enlightment” sejurus selepas kejatuhan kerajaan Andalusia di Sepanyol. Banyak ilmu yang telah mereka pinjam dan pelajari daripada ilmuwan islam sebelum mereka. Dengan kekuatan yang mereka ada, mereka telah bangun dan menerajui peradaban dunia selepas era kegemilangan tamadun islam.

Namun sejak itu , begitu banyak juga kerosakan yang telah mereka hasilkan dan lebih parah lagi ia mengheret sama seluruh dunia kepada kehancuran moral dan etika kemanusiaan keseluruhannya. Ideologi barat seperti sekularisme, globalisasi dan liberalisasi kian membawa kepincangan kepada peradaban manusia.

Musuh-musuh peradaban yang telah dihapuskan oleh islam ini kini kembali lagi dengan kemasan kemodenan. Perhambaan yang telah dihapuskan secara bertahap kini kembali lagi sejak penjajahan berlaku kepada dunia ketiga dan ini bertopengkan globalisasi 4. Penjajahan minda dan budaya melalui globalisasi dilihat barat sebagai proses kebebasan (liberty), walhal ia banyak menghakis nilai-nilai agama dan adat ketimuran.

Globalisasi dengan disokong oleh ledakan teknologi maklumat dan ekonomi pengetahuan ini menguatkan lagi penguasaan ekonomi barat dan menyebarkan hegemoni politik kapitalisme antarabangsa. Dasar yang mementingkan keuntungan semata-mata ini dilakukan tanpa memperdulikan tanggungjawab sosial atau moral kepada penduduk tempatan.

Selain daripada itu, globalisasi telah memberi impak ke atas negara-negara miskin yang kebanyakannya negara-negara islam. Contohnya, negara-negara kaya barat tidak jujur dan memerangkap mereka dengan idea perdagangan bebas (liberalisme). Dengan syarikat –syarikat multinasional gergasi, mereka menutup peluang syarikat-syarikat kecil tempatan yang kebanyakannya terpaksa bergabung untuk terus kekal bersaing. Ini akan terus menekan negara-negara membangun, ditambah lagi dengan bantuan kerangka kerja antarabangsa seperti WTO, IMF dan PBB. Badan-badan ini mengolah undang-undang yang lebih menguntungkan negara kaya barat 5.

Sementara itu, sekularisme atau keduniaan ciptaan barat tidak sesuai dipegang oleh umat islam, kerana ianya jelas bertentangan dengan ajaran islam. Sekularisme memisahkan soal agama dari duniawi. Islam tidak pernah mengenali hal ini, sebab syariat selalu menjadi asas fatwa dan peradilan umat islam sepanjang sejarahnya6. Anggapan sekularisme yang bersumberkan kepercayaan orang yunani bahawa tuhan menciptakan alam lalu membiarkannya berjalan sendiri adalah disanggah oleh islam. Ini kerana dalam islam, Dialah (Allah) pencipta, pemilik segala kekuasaan dan menurunkan syariat agar hambanya tidak berbuat kekufuran, kezaliman dan kefasikan 7. Kesan sekularisme terlihat bertapak disistem pendidikan Malaysia, sebagai contoh sistem dualisme yang memisahkan pendidikan agama dan akademik. Orang Melayu pula kian menganggap agama sebagai satu ritual yang tiada kena mengena dengan urusan hidup lainnya seperti aktiviti ekonomi, sosio-budaya, politik dan sebagainya 8.

5. Keterbukaan budaya dan pengaruh budaya asing

Diantara ciri-ciri ketamadunan islam ialah ianya harus bersikap terbuka dan rasional 9. Ini juga adalah prasyarat bagi interaksi antara tamadun seperti menerima idea baik mengenai perubatan daripada tamadun Mesopotamia dan mesir sebelum dikembangkan oleh tamadun islam. Tetapi sikap keterbukaan ni didalam menerima budaya dan pengaruh asing haruslah ditapis terlebih dahulu. Interaksi antara tamadun asing dengan tamadun islam dibolehkan bagi mengelakkan pandangan sempit terhadap imej islam.

Inilah yang menjadi cabaran kepada umat islam dalam menentukan elemen-elemen luar yang baik sahaja, agar boleh menambah-baikkan tamadun islam itu sendiri. Umat melayu contohnya masih memiliki psyche (watak) yang terbentuk akibat daripada pemerintahan feudal dan absolutis sejak zaman kerajaan melayu-hindu dan pemerintahan penjajah 10. Antara penyakit yang diwarisi ialah bangsa melayu menjadi pasrah, malas, dan rendah diri. Tidak salah sebenarnya jika kita menjadi pencipta kepada takdir sendiri dan lari daripada mentaliti hamba, justeru berani dalam melakukan perubahan.

Disamping itu pula keterbukaan islam sering juga diasak oleh arus-arus seperti globalisasi, liberalisasi dan westernisasi. Nilai budaya dan moral yang dibawa tidak mementingkan ajaran agama dan tatasusila ketimuran. Konsep materialistik, freedom, hedonisme dan penyalahgunaan teknologi dan sains ini begitu berjaya dalam membawa trend-trend sekularisme, sehingga ianya menjadi gaya hidup golongan muda masa kini. Paling jelas dalam industri hiburan dimana pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, pakaian yang menjolok mata dan tidak menghormati nilai-nilai agama. Begitu juga dengan tarian-tarian dan nyanyian yang bersifat merangsang nafsu berahi, tidak beradab, disamping melanggar etika dan batas-batas hukum agama islam.

Justeru itu, halangan sebenarnya adalah budaya politik luar yang apabila dakwah kepada islam dalam menangani isu ini dipandang sepi dan seperti dipandang dengan sebelah mata sahaja oleh para pemimpin islam sendiri. Golongan sekular memilih cara ini, iaitu dengan membenarkan hanya islam yang ‘jinak’11 . Itu bermaksud islam yang tiada jihad di hati mereka, beku berfikir, istilah-istilah islam yang kabur, yakni yang disibukkan oleh kulit agamanya sahaja dan bukan isinya.

6. Kemorosotan budaya dan moral

Golongan muda islam masa kini begitu longgar nilai budaya dan moral mereka. Ini dicerminkan dengan masalah-masalah seperti sex bebas, penagihan dadah, gejala HIV/AIDs, keganasan Juvana dan banyak lagi. Ini menimbulkan Kebimbangan tentang masa depan mereka. Bukan itu sahaja bahkan para peniaga pula tidak lagi beretika dengan sanggup mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan untuk mengaut keuntungan dikala masyarakat menghadapi krisis kenaikan harga minyak yang menyaksikan kenaikan harga barang.

Seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal 12 dalam tulisannya yang antara lainnya bermaksud “…dari perspektif islam, keutuhan budaya dan moral merupakan criteria penting di dalam menilai makna kemajuan atau tamadun sesuatu bangsa”. Kerana itulah al Quran berkali-kali menyeru supaya manusia menjelajah bumi untuk mendapatkan sejarah dan belajar dari sejarah tamadun zaman silam. Yang nyata pada zaman kini begitu banyak pendedahan maklumat yang merosakkan oleh pengaruh globalisasi atau kuasa internet, dengan 33 juta laman pornografi yang dikunjungi setiap hari. Masyarakat muda kini telah terpanggil dan lari dari ikatan moral mereka sebelum ini. Banyak kes rogol berlaku dan penjualan dan pembuatan CD lucah tempatan. Golongan muda semakin berani keluar dari pegangan orang-orang tua yang terdahulu.

Disamping itu amalan politik dan kakitangan perkhidmatan awam begitu tergugat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan wang. Di Malaysia contohnya, kerajaan telah mewujudkan Pelan Integriti Nasional bertujuan untuk mengawal dan mencegah masalah tersebut. Sektor swasta juga tidak terlepas dengan skandal-skandal kegagalan dalam pengurusan dan kewangan. Amalan sebegini jelas bertentangan dengan ajaran islam kerana dikhuatiri akan menghancurkan politik dan keteguhan kemajuan bangsa tersebut.

Kejahilan orang-orang islam tentang kepentingan akhlak dan tanggungjawab mereka membuatkan mereka lalai dan terpesong dari ajaran-ajaran moral dan hidup berbudaya sihat seperti yang terkandung di dalam al Quran dan sunah Nabi Muhammad saw.


7. Penyalahgunaan kemajuan sains

Para saintis di barat banyak berpegang kepada falsafah logik dan kebebasan dalam menerima apa saja hasil daripada kerja mereka. Mereka menilai kemajuan sains itu sebagai jawapan kepada apa saja kemahuan mereka di dalam menyelesaikan apa saja permasalahan. Kesannya apa yang dilihat ialah bukannya kemajuan sains itu yang membawa kebaikan kepada manusia tetapi sebaliknya, martabat manusia itu sendiri menjadi tergadai dan terpesong dari norma-norma terhormat atas nama kemajuan sains.

Ini terbukti jelas bertentangan dengan fitrah kemanusiaan, seperti yang digariskan oleh islam akan perlunya ada garis sempadan yang jelas antara apa yang dilarang dan apa yang diharuskan, contohnya teknologi pengklonan manusia. Telah dijelaskan dalam al Quran bahawa bayi yang dilahirkan adalah hasil daripada proses kehadiran sel sperma dan sel ovum diantara ibu dan bapa bayi 13. Bayi klon tak punya ciri genetik yang seharusnya ada hasil dari gabungan genetik ibu dan bapanya, sebaliknya ia identikal dengan si penyumbang DNA. Antara keburukan bayi klon seperti yang diperjelaskan14 , ialah ianya bisa meruntuhkan institusi kekeluargaan atas alasan :

(i) Persoalan timbul apakah hubungan di antara klon dengan induknya.
(ii) Lelaki tidak berperanan penting, kerana perkahwinan tidak diperlukan bagi wanita untuk mendapatkan anak.
(iii) Gen-gen DNA boleh diperdagangkan (baka yang baik).
(iv) Pasangan homoseksual boleh mendapatkan anak dengan cara membelinya daripada ‘ibu tumpang’.
(v) Melahirkan ramai ibu tunggal dalam masyarakat.
(vi) Peranan hubungan seksual manusia bukan lagi fitrah untuk mendapatkan zuriat tetapi semata-mata untuk keseronokan dan hedonisme sahaja.
Selain daripada itu kecanggihan teknologi audio visual yang bermaklumat dan interaktif seperti internet dan telefon bimbit yang menggunakan teknologi satelit telah mengundang perniagaan baru kepada kapitalis barat. Mereka mengaut keuntungan hasil daripada industri pornografi dan perjudian online tanpa memperdulikan implikasinya ke atas golongan muda yang jelas menjadi ketagih dengan melayari laman-laman web ini.

Sementara itu, blog-blog juga banyak diwujudkan dan seperti juga sms dari telefon bimbit ianya banyak dipergunakan untuk menyebarkan maklumat palsu berbau hasutan, fitnah dan provokasi. Kesan daripadanya ialah masyarakat diperdayakan tanpa bukti dan mengheret kepada politik kebencian yang mebinasakan tanpa usul periksa. Natijah yang lebih berat lagi ialah ianya mampu untuk memporak-perandakan sesebuah kerajaan dan tentunya juga kestabilan dan kemajuan ekonomi negara tersebut.


8. Kuasa politik dan kekuatan tentera barat

Pada era perang dingin dan pasca kejatuhan ideologi komunis banyak berlaku tindakan ketenteraan negara-negara kuasa besar yang merupakan penindasan, kezaliman dan ketidakadilan terhadap negara-negara kecil bukan barat iaitu negara-negara islam seperti Bosnia, Palestin, Afghanistan dan banyak lagi. Langkah unilateral dan tidak berperikemanusiaan yang membawa order baru dunia begitu rakus cuba memanipulasi demi kepentingan liberalisasi ekonomi kapitalis mereka.

Firman Allah swt bermaksud: “Dan orang-orang kafir itu sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain”. Prof Dr. Yusuf Qardhawi pernah menyebut didalam tulisannya bermaksud “..Mengapa orang-orang barat itu menyokong Israel sehingga kini dan menyatakan bahawa Israel telah tercipta untuk bereksistensi? Mengapa Amerika Syarikat menentang seluruh dunia dengan menggunakan hak veto setiap kali Majlis Keamanan PBB hendak menghukum Israel? Maka benarlah kuasa politik dan ketenteraan segitiga Zionisme, Salibisme dan Komunisme seperti yang disebutkan Allah swt, mereka berusaha bertolongan untuk menghancurkan kewujudan islam” 15.

Disamping itu juga ketidakadilan dan kerosakan yang disengajakan dengan mesej yang kononnya bermaksud ‘global war on terrorism’ merupakan ancaman kepada tamadun islam itu sendiri. Ini kerana dengan motif politik dan ekonomi, mereka sengaja mereka-reka alasan untuk menyerang negara-negara islam yang dilabelkankan sebagai negara paksi kejahatan seperti Iraq dan Iran. Maka dengan ini mempermudahkan mereka mewarnai politik tempatan dan menghuru-harakan keadaan. Niat utama mereka agar politik tempatan patuh dan condong ke arah kemahuan mereka.


9. Terorisma - Ekstremis

Dua peristiwa pahit berlaku berturut-turut pada tahun 2002, iaitu pengeboman di Bali pada 12 oktober dan penawanan tebusan oleh pejuang Chechnya pada 26 oktober berikutnya di Moscow. Ini menguatkan lagi tanggapan behawa terdapat hubung-kait antara keganasan dan islam 16. Seperti yang diramalkan oleh Samuel Huntington dalam tulisannya “The Clash of Civilisation”, di mana dunia barat dan sekutunya berpadu, manakala pihak islam pula saling bertelagah sesama mereka dipihak yang bertentangan 17. Sebenarnya dengan dictate daripada kuasa-kuasa besar, ramai orang islam sendiri percaya dengan mitos keganasan islam, mitos teokrasi islam, mitos ketidakadilan hukum islam dan mitos keunggulan peradaban barat 18.

Ekstrem dalam bahasa arab disebut sebagai Tatharruf , bererti “berdiri di tepi, jauh dari tengah” 19. Antaranya bermaksud sikap ini lebih dekat kepada kebinasaan dan bahaya serta jauh dari keamanan. Islam mengutamakan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan mahupun beribadah. Golongan ekstrem dalam al Quran sering disebut sebagai ‘ orang yang melampaui batas. Maka dengan itu, Tindakan-tindakan ekstrem oleh pelampau islam tidak mendatangkan faedah, kecuali menambah kebencian musuh-musuh mereka yang membalas dengan kebengisan yang sama 20.

Dalam pada itu amat jelas islam tidak membenarkan peperangan dilancarkan keatas sesiapapun kecuali dengan alasan mempertahankan diri 21. Islam itu adalah damai, adil, toleransi dan berperikemanusiaan. Prejudis Barat yang mengaitkan islam dengan keganasan adalah berbahaya kerana sebenarnya keganasan dan ekstremisme juga berlaku dikalangan bukan islam dan di kalangan negara bukan islam yang berlanjutan hingga ke hari ini 22. Menurut Prof. Dr. Yusuf al Qardhawi 23. Antara bencana yang ditimbulkan oleh sikap ekstrem dalam agama ialah:

(i) Sikap ini amat menyusahkan, jarang manusia bersabar mengenainya. Contohnya memanjangkan bacaan ketika bersolat.
(ii) Umur manusia sangat pendek, jadi besikap melampau tidak mudah kerana manusia mudah bosan dan kemampuannya terbatas. Agama Islam adalah mudah dan tidak harus disulitkan.
(iii) Sikap ekstrem akan merosakkan kewajipan lain yang sebenarnya harus dipelihara dan mesti dilaksanakan.


10. Kesimpulan

Umat Islam masa kini menghadapi cabaran baru musuh-musuhnya hasil dari kepincangan diri sendiri, kerana ajaran islam itu mampu mengatasi biar apa jua zaman dan sentiasa relevan sampai bila-bila. Kekuatan harus digembeling dengan perpaduan ummah, daya saing keilmuan, memperbaiki akhlak dan moral disamping cuba untuk mencipta kemajuan dan kekal mampan dalam mengatasi arus dari barat.
 

Nota Kaki
1. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 69)2. Koleksi Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohammad : Ucapan di Forum Islam Oxford, Tentang Dunia Islam dan Kerjasama Global, Persiapan untuk abad ke 21.

3. Tamadun Islam dalam Era Pasca Kolonialisme : Pendidik, www.pts.com.my.
4. Tamadun Islam, : Cabaran dan Halangan Membangun Semula Tamadun Islam, www.Khairaummah.com.5. Cabaran Tamadun Islam pada Alaf Baru di Malaysia : Siri Pengajian dan pendidikan Utusan,Prof. Madya Dr. Mustafa Hj. Daud 2002, (m.surat 191-192).6. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 65).
7. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 67).
8. Islam Hadhari : Relevan Sepanjang Zaman, Muhammad Iqbal Abideen, Penerbitan seribu Dinar (m.surat 67).
9. Pengajian Tamadun Islam ; Sejarah, Pecapaian dan Masa depannya, Mohd Liki Hamid (ed.), 2002, PTS Publication & Distributor Sdn Bhd.
10.Tamadun Islam, : Cabaran dan Halangan Membangun Semula Tamadun Islam, www.Khairaummah.com.
11. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 12). 12. Prinsip ke Lapan : Keutuhan Budaya dan Moral, Tan Sri Prof. Dr, Mohd Kamal Bin Hassan, Panel Pemikir Islam Hadhari.

13. Islam Hadhari : Himpunan Isu Kontemporari, Implikasi Pengklonan Ke atas Fitrah manusia, Sh. Mohd Saifuddeen Sh. Mohd Salleh, Institut Kefahaman Islam, 2005, (m.surat 215).
14. ------------------------------------------------ibid---------------------------------(m.surat 216-218).
15. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 72). 16. Islam Hadhari : Himpunan Isu Kontemporari, Pisahkan Keganasan Daripada Islam, Mohd Roslan Mohd Saludin, Institut Kefahaman Islam, 2005, (m.surat 221).
17. ------------------------------ibid---------------------(m.surat 222).

18. Tamadun Islam, : Cabaran dan Halangan Membangun Semula Tamadun Islam, www.Khairaummah.com.
19. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 1).
20. Koleksi Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohammad : Ucapan di Forum Islam Oxford, Tentang Dunia Islam dan Kerjasama Global, Persiapan untuk abad ke 21.
21. Islam Hadhari : Himpunan Isu Kontemporari, Hormati Hubungan Hidup Bersama, Abdul Monir Yaacob, Institut Kefahaman Islam, 2005, (m.surat 228).

22. --------------------------ibid---------------(m.surat 230).
23. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002 (m.surat 6-7).
Sumber Rujukan :
1. Cabaran Tamadun Islam pada Alaf Baru di Malaysia : Siri Pengajian dan pendidikan Utusan,Prof. Madya Dr. Mustafa Hj. Daud, 2002.
2. Islam ‘Ekstrem’ : Suatu analisis & Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Penerbitan Darul Iman, 2002.
3. Islam Hadhari : Relevan Sepanjang Zaman, Muhammad Iqbal Abideen, Penerbitan seribu Dinar, 2008.
4. Islam Hadhari : Himpunan Isu Kontemporari, Hormati Hubungan Hidup Bersama, Institut Kefahaman Islam, 2005.
5. Koleksi Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohammad : Ucapan di Forum Islam Oxford, Tentang Dunia Islam dan Kerjasama Global, Persiapan untuk abad ke 21, 1997.
6. Pengajian Tamadun Islam ; Sejarah, Pecapaian dan Masa depannya, Mohd Liki Hamid (ed.), 2002, PTS Publication & Distributor Sdn Bhd.
7. Prinsip ke Lapan : Keutuhan Budaya dan Moral, Tan Sri Prof. Dr, Mohd Kamal Bin Hassan, Panel Pemikir Islam Hadhari.
8. Tamadun Islam dalam Era Pasca Kolonialisme : Pendidik, www.pts.com.my.
9. Tamadun Islam, : Cabaran dan Halangan Membangun Semula Tamadun Islam, www.Khairaummah.com.
(ram's2008)

Comments

Popular posts from this blog

KENAPA FIZIKAL INVENTORY TAK TALLY DENGAN GENERAL LEDGER (GL) ????

SHELL REFINING COMPANY MALAYSIA : 2015 MARKETING ANALYSES

Kenapa Food Cost % bulan ni tinggi ???